PUTRAJAYA, Jumaat: Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan pada Jumaat menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) untuk menukar status Pelabuhan Laut Dalam Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan ke Pelabuhan Negeri pada suatu majlis ringkas di Pejabat Perdana Menteri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg pada sidang media setelah menyaksikan majlis tersebut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju untuk menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak.
Turut hadir Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menandatangani bagi pihak Sarawak dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bagi pihak Persekutuan.
Pelabuhan Bintulu telah ditubuhkan melalui Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dan setelah lebih 40 tahun berada di bawah pengawasan Kerajaan Persekutuan akan bertukar status sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa Pelabuhan di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak.
Datuk Patinggi Abang Haji Johari berkata bahawa Pelabuhan Bintulu akan terus beroperasi sebagai Pelabuhan penting negara walaupun akan diuruskan oleh Sarawak kerana ianya akan menyumbang kepada pembangunan negara keseluruhannya.
Sarawak telah menyediakan pelan pembangunan yang komprehensif melibatkan semua pelabuhan di Sarawak dan penubuhan sebuah Lembaga Pelabuhan merangkumi semua pelabuhan, jelas beliau.
Ditanya samada Pelabuhan Bintulu kelak akan diperbesarkan, beliau berkata sudah pasti itu suatu kemungkinan sejajar dengan pengeksportan bahan-bahan bakar yang boleh diperbaharui khususnya hidrogen.
“Pengeksportan hidrogen memerlukan pelabuhan khas,” ujar beliau.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata Akta Pelabuhan Bintulu akan dimansuhkan untuk mengoperasikan pertukaran status tersebut.
Pemansuhan tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Jun, kata beliau lagi.
Antara yang hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan dari Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo.